Sunday, 20 December 2015

Hijau

Kau masih mentah, tapi tak bermakna kau tak boleh menurut perintah. Kau masih muda, tapi tak bermaksud akhlak kau tak perlu dijaga. Kau dah boleh berfikir, tapi tak kau gunakan akal secara rasional.

Kadang kau kata kau dah matang. Tapi matang kau hanya dibibir. Fikiran kau, mentaliti kau,dan tindakan kau, persis kanak-kanak yang baru hendak bertatih. Tuntutan yang kau pinta, menjadi bahan ketawa mereka yang bertakhta. Tuntutan yang kau buat tidak mendatangkan kesan yang membawa makna kepada mereka yang merana.

Kau bersorak tanda berjaya, mereka menangis kerana sengsara. Mereka sudah hilang kepercayaan terhadap kau. Mereka menyesal memberi mandat kepada orang yang hilang kewarasan dalam tindakan.

Penulisanku ini mungkin tidak terkesan dan bermakna buat engkau. Tapi aku berdoa agar kau sedar atas kebodohan yang telah kau lakukan.

Thursday, 17 December 2015

Epilog

Tidak. Aku tak percaya. Mungkin hanya mimpi ngeri yang datang mempermainkan malamku. Aku genggam dan aku baca satu per satu ayat yang tertera di telefon bimbitku. Air mata berlinangan. Sungguh aku mengharapkan ia mainan tidur.

Lama dahulu pernah kita bermain bersama-sama. Pernah kita bergelak ketawa mengharungi kehidupan sebagai seorang kanak-kanak. Setelah dewasa, kau pergi jauh merantau ke negeri orang. Terputus hubungan sebagai makhluk ciptaanNya. Namun, diri ini tidak pernah melupakanmu nun jauh disana.

Hari ini menjadi sejarah hitam buat diriku. Cerita silam mengingatkanku, meratapi pemergianmu. Kehilanganmu bukan mudah buat kami. Benar mati itu pasti, ajal menjemput tanpa dikejut. Tetapi pemergianmu menjadi satu tragedi. Cerita tentangmu dimuka hadapan akhbar hari ini. Aku redha dengan takdir ini. Berehatlah kau disana, semoga bersemadi di singgahsana, mungkin ini epilog hubungan kita, dipisahkan dengan takdir Tuhan, tiada siapa mampu menghalang.



Friday, 11 December 2015

Prolog



1405. Awal lagi. Lecturer muda, lelaki, mesti boleh kawtim masuk lambat. Jangkaan awal. Melilau cari bilik seminar waktu tu. Masuk je, dia dah ada. Dalam hati, 'peh awal gila dia ni'. Tengok jam, 1410. Uish kelas 3jam kot, dia masuk awal, ikut masa. Mesti habis pun awal.

Duduk, dia borak. Hm boleh tahan dia ni. Duk bahan orang, pekena kat orang. Awal-awal dia dah bagi amaran. 'Kelas ni tough, kau akan sakit kalau kau tak boleh masuk dengan aku. Balik ni, sila drop kalau kau taknak'.

Ahh cliché! Aku dah penat dengar benda sama. Aku ada 5 sekolah kot. 1 Matriks. Biasanya pensyarah/cikgu skrip sama je. Takpe, aku layan kan dulu.

Hari pertama, dalam masa 3 jam, aku dapat nampak, aku dapat rasa, yang dia ni bukan biashe-biashe. Soalan yang timbul waktu tu, 'kau nak ke masuk kelas macam tu? Dia dah warned awal-awal kot. Poyo gila taknak orang masuk kelas dia. Siap halau awal-awal budak yang nak transfer credit.'

Aku fikir, aku pertimbangkan. Gugur dan ambil set lain, atau tidak? Mesti ada sesuatu yang menarik kalau aku stay. Hmm aku buntu. Teguh berdiri atau terus angkat kaki? Mungkin ini masih diperingkat prolog atau akan aku drop cari set lain?

Thursday, 10 December 2015

Ikhlas



Benda ni bukan senang sebab ia tak nampak dari sudut fizikal. Benda ni bukan mudah sebab ia bukan hanya dengan kata-kata yang lahir dari lidah. Mudah diungkap, sukar didakap, itulah IKHLAS.

Takkan timbul ayat 'dah susah baru cari aku' kalau kau benar-benar ikhlas. Orang ikhlas tak cakap yang dia buat kerja tu ikhlas. Orang ikhlas tak merungut. Orang ikhlas tak mengungkit. Orang ikhlas tak rasa apa-apa kalau kebaikan dia tak dibalas.

Susah kan? Ya, sangat susah. Aku pun tak tahu tahap ikhlas aku macam mana. Takde la aku cakap kat diri aku, yang aku buat tu terpaksa, aku CUBA untuk terus prasangka baik tapi sampai bila? Aku takdelah jahat sangat, tapi aku taknak TERLAMPAU BAIK sampai orang pijak kepala aku. Boleh ke?

Entah. Aku bukan nak mengungkit. Aku dah penat untuk dihimpit. Biarlah aku bersendirian dengan pendirian yang satu. Biarlah aku kelihatan keseorangan sampai aku temui jalan ikhlas sendiri.

Sunday, 6 December 2015

Agenda

Bersyukurlah kamu menjadi insan yang dipilih Dia Sang Pencipta. Bertuahlah kamu memiliki peluang menikmati keindahan dunia. Beruntunglah kamu diberi kesempatan mencorak langkah kehidupan.

Siang tidak selamanya cerah. Malam tidak berterusan dengan kekelaman. Pelangi tidak akan hadir tanpa hujan yang mencurah. Hari ini akan berlalu menjadi sejarah. Esok akan tiba tanpa diarah.

Menjadi kebiasaan dalam kehidupan, buat manusia ciptaan Tuhan, yang mempunyai impian dan harapan, insan ini tidak mahu terlalu bergantung pada tuah dan nasib. Insan ini tidak mahu menjadi manusia yang lalai dengan nikmat yang dikurnia secara percuma. Insan ini tidak ingin tertipu dengan pujuk rayu si Iblis yang tidak mengalah untuk memperdaya.

Aku disini atas doa seorang ayah dan ibu. Aku disini dengan izin Dia yang tidak pernah melupakanku. Kadang ku terasa malu dan hina kerna kerap ku terlupa dengan amanah yang dikurnia. Sedarlah diri. Bangunlah sebelum karam di lautan. Engkau disini bukan untuk mempersiakan harapan mereka. Engkau disini bukan untuk mengkhianati amanah yang dipertanggungjawapkan. Engkau disini atas pelbagai tujuan untuk mencapai satu AGENDA.




Sekolah

Zaman yang ramai nak kembali, tapi amat mustahil adalah zaman sekolah. Zaman sekolah semua tak sabar nak kerja. Semua tak sabar nak masuk universiti.

Katanya waktu sekolah terkongkong. Waktu sekolah sangat terikat dengan peraturan. Waktu sekolah kena bangun awal pagi. Waktu sekolah kena siapkan kerja rumah. Waktu sekolah banyak peperiksaan. Waktu sekolah kena banyak bawak buku. Waktu sekolah kena pakai uniform yang ditetapkan. Waktu sekolah, semua membebankan.

Waktu sekolah, semua menyusahkan. Waktu sekolah sangat memenatkan.
Kata mereka, nak cepat habis sekolah. Nak cepat kerja. Nak cepat masuk U. Tak perlu aku jelaskan kenapa dan mengapa, kerana jangkaan mereka pada saat itu, kehidupan bekerja dan kehidupan di universiti, semuanya indah bak bulan purnama.

Aku yakin dan percaya, ramai yang nak kembali ke sekolah apabila mereka menempuh kehidupan realiti sebagai seorang pekerja dan mahasiswa. Ternyata jangkaan mereka selama ini hanyalah mimpi di siang hari. Padan muka hahaha

Dedikasi buat 5 buah sekolah aku :

1. SK Palong 8
2. SMK Damansara Utama
3. SMK Palong 7
4. SMA Dato' Haji Tan Ahmad
5. SMK Datuk Mansor

Sunday, 29 November 2015

Karya



Aku bukan orang seni. Bukan juga orang bahasa. Aku bukan pakar tafsir. Jauh sekali si Tukang Syair. Bahasa istana bukan bahasa ibundaku. Bahasa pujangga bukan bahasa percakapanku.

Tapi mereka sering bertanya. Mengapa dan kenapa aku gemar berkarya sedemikian rupa? Sedang aku tidak berperwatakkan begitu.

Biar aku katakan dan aku perjelaskan.
Aku menulis mengikut rentak hati. Dipandu oleh emosi yang menguasai. Jika begitu acuannya, begitulah kuihnya.

Mungkin sukar buat kau untuk memahami. Sukar juga buat aku untuk menyampaikan. Tapi inilah cara aku. Inilah sikap aku.

Aku diajar untuk bermain dengan kata-kata. Bukan untuk meraih cinta, tapi buat meraih takhta. Bukan takhta dihati, tapi takhta di mata. Bukan mata manusia, tapi Dia si Pencipta.
#Fahamkanlah

Saturday, 28 November 2015

Kelabu

Mereka kata perlu, aku bilang tidak. Mereka kata jangan, tak ku endahkan larangan. Kerap kali ku buntu mencari penyelesaian, kerap juga mereka datang memberi pandangan.

Walau mereka tahu aku akan menolak, tapi mereka bersedia untuk tertalak. Mereka kata aku memberi harapan.
Ada juga menggelar aku memainkan perasaan. Bagi aku itu semua atas diri sendiri.

Berhenti berharap agar tidak tertiarap. Elakkan angan-angan agar tidak diawangan. Jauhi mimpi kerna ini realiti.

Entah. Mungkin aku belum mempunyai pendirian untuk itu. Sama ada belum bersedia atau tidak pernah untuk bersedia. Sejujurnya memang tidak ada perancangan untuk itu. Kalau dengar aku cakap berkenaan isu ini, mungkin itu pembohongan atau hanya angan kosong.

Orang kata angan-angan membawa kenyataan. Mereka tipu atau merapu? Mana mungkin menjadi kenyataan jika tanpa perancangan dan tindakan.

Dunia akhir zaman, serahkan saja pada Pencipta.


azri ABU

Monday, 23 November 2015

Tikam

Tikam. Mungkin membunuh? Tikam nombor? Atau tikam belakang?
Tak perlu aku perjelaskan dengan lanjut, kerana aku yakin dan pasti, anda semua pernah dengar dan faham maksud-maksud tersebut.

Ditikam atau menikam. Anda yang bagaimana? Seringkali ku perkatakan dan aku perjelaskan, manusia biasa, banyak dosa, tidak lari dari kesilapan biasa. Ingin jua aku tekankan, jangan dipraktikkan kesilapan yang biasa dan berulang dalam kehidupan.

Mungkin engkau pernah ditikam sebelum ini, tapi janganlah TERtikam di lain hari. Elakkan, jauhkan, dan hindarkan dari perkara-perkara sebegitu agar tidak membawa kesengsaraan yang menggangu kebahagiaan.
Walaupun aku juga banyak membuat kesilapan, tapi aku mempunyai sedikit pesanan, buat tatapan dan pedoman.

'Perkara yang lalu jadikan sejarah. Agar hilang segala amarah. Supaya tidak kembali berdarah'

Tuesday, 17 November 2015

Sedar



Kita tak selalu bagus. Kadang kau rasa kau cukup untuk sesuatu, tapi orang lain tak fikir kau begitu.

Selalu kau fikir kau betul, tapi orang sekeliling sering bercakap tentang kau. Tak sedar ?

Pantang orang salah, kau orang pertama yang lantang untuk membalas dan membidas. Mungkin kau menang diatas kertas, hakikatnya orang malas nak layan kau dah. Tak sedar ?

Aku pelik. Diperli sudah, dikeji sudah, dimaki pun dah dibagi tapi tak sedar. Tak perasan atau tak berperasaan ?

Mungkin orang cakap dia tak perasan, tapi bagi aku sebenarnya dia tak sedar. Ego tinggi, tak pernah salah, dan mungkin tak pernah nak mengalah.

Aku tak mintak kau mohon maaf, cuma aku minta kau sedar diri dan tak buat lagi.

azri ABU

Saturday, 14 November 2015

Otak

Orang cakap tak faham-faham, cakap bodoh, dia marah.
Nak cantik sikit, peribahasa sikit. Aduh, otak udang.

Membe senyap kau mintak idea, idea macam otak udang, kau balas 'kepala otak'.
Pergi mamak, ada brader letak atas meja. Kau bukak, kau makan, pastu membe bayar. Otak-otak.
Menteri belia dan sukan selalu sebut, cikgu kat sekolah pun suka cakap. Badan sihat, otak cerdas. (macam pelik je bunyi)

Membe rajin, pandai, kau dengki tak tentu pasal. cikgu cakap, otak cair. Kau apa tahu ?
Membe sembang kencang, kuat kencing, kepala hancing,  mulut celupar macam puaka carut tak habis tak ingat dunia layan p**** mana taknya, otak kuning.


Membe gila, stay high Layan kepala dia, semua pengsan. Memang tak nyesal lepak dengan kau. Sakit otak, naik sasau.

Cuti

Cuti? Siapa tak suka kan... Macam-macam boleh buat dengan cuti. Tapi kena sedar diri jugak la. Naik cuti ada 2 paper mid term menanti.
                    
Bagi aku cuti paling best bab makan la. Boleh order dekat mak nak makan apa huhu. Lepastu kalau kat rumah, lantak aku la nak makan berapa kali kan. Poket tak perlu tapis haha.  Aku kuat makan kot. Tapi tak besar-besar. Penat dah makan. Bila tah nak membesar.  Bapak aku kata aku makin keding dah haha.

Kalau ikutkan aku pergi Kemsis haritu. Tapi malas ah sebab tak ramai yang join. Kalau ramai ok la jugak. Ni asyik muka sama je. Anep, tasya, pastu budak2 kmp lain. Mana nak go bro haha. So biarlah aku berehat setelah menjayakan KKUKM43 haritu #acah.


Sepanjang cuti, dapat jugak la aku ikut perkembangan semasa kat luar sana kan. Ada la masa aku nak layan Berita Awatni, Berita Hairan. Macam-macam berlaku sekarang. Dunia akhir zaman bro. Doa jelah. Dengan isu Alvin Tan, serangan kat Paris, Palestin. Semoga kita dilindungi dan dirahmati.

Sunday, 8 November 2015

Nafsu



Mereka menyuruh kita agar mengawal nafsu. Ada juga yang berkata hapuskan nafsu. Persoalannya, mampukah kita sebagai manusia biasa untuk berbuat sedemikian ?

Nafsu tidak mampu dikawal. Nafsu tidak boleh dihapuskan. Tapi nafsu perlu diurus dan dikendalikan.

Adakah kau mampu untuk mengawal nafsu makan tatkala kau lapar dan berkeinginan ? Bisakah kau menghapuskan nafsu seks bila engkau mampu dan berkemahuan ?

Kita manusia biasa. Kita ditakdirkan untuk bernafsu. Setiap daripada kita mempunyai nafsu masing-masing.

nafsu perlu diuruskan dan dikendalikan. Tatkala engkau idamkan untuk makan sesuatu, maka uruskanlah nafsumu dengan baik. Sama ada makan untuk memenuhi apa yg kau 'mengidam' atau makan berpandukan nafsu yang tak pernah puas.

Bila mana tiba nafsu yang membuak untuk seks, kendalikanlah dengan baik agar tidak terjerumus ke lembah maksiat. Kendalikanlah nafsumu hingga tiba kau beristeri dan berkemampuan.

Sekali lagi ku tegaskan, nafsu tidak mampu dikawal. Tapi perlu diurus.

Wednesday, 4 November 2015

Lupa



Dia datang dari tanah, bukan cahaya yang menerangi dunia. Dia dihasilkan dari air yg hina, bukan dari air di lautan mutiara yg berharga dan bermakna. Dia hanya manusia biasa, tapi lupa asal usulnya.

Lupa.. Tersengaja atau disengajakan ? Atau mungkin mereka benar-benar lupa, alpa, dan terleka ?

Bicaranya penuh dengan kata-kata indah bagi meyakinkan si pendengar. Janji setinggi bulan dan bintang tak usah dinafikan, kerana mereka mampu mendapatkan. Mulut manis berjanji, tapi tak pernah untuk menunaikan.

Ungkit ? Tidak ! Aku tidak bangkit untuk mengungkit, tapi aku bangkit untuk menyedarkan mereka yg mungkin 'terlupa' dan terus berdusta.

Sedarlah, saudaraku. Rakanmu bukan robot tak berakal. Rakanmu bukan badut untuk terus ditertawakan. Rakanmu itu juga bukan haiwan tak berperasaan. Aku berkata bukan untuk menyakiti dan menguris, tapi cukup buat engkau berhenti berjanji bermulut manis.


azri ABU

Wednesday, 28 October 2015

Amanah

Ramai yang mampu menerima tapi tidak mampu melaksanakan. Ramai yang tidak mahu menerima tapi pandai menghina. Pandai dalam berbicara, tapi tidak mampu melaksanakan dengan kuasa.
Itulah ragam amanah.

Betapa ramai manusia hari ini, berebut untuk memikul amanah tapi akhirnya terjelepuk diatas tanah. Betapa ramai manusia yang takut memikul amanah tapi pandai mengkritik dan hanya beraksi seperti seorang yang pengecut.

Mereka yang diatas sudah lupa apa itu amanah. Mereka yang diatas, hanya pandai tindas-menindas. Mereka yang diatas hanya berbangga berbaju koporat sedang perangai seperti keparat. Hebat ? Ya, engkau dipandang hebat disebabkan mandat yang engkau terima. Jangan kau sesal bila kubur kau mendap dan mampat disebabkan melanggar amanah yang engkau dapat.

Kepada yang takut untuk memikul amanah, sedarlah bahawa setiap manusia merupakan orang yang hebat. Kerana apa? Kerana hanya manusia yang sanggup memikul amanah tatkala Allah menawarkan amanah kepada langit, bumi, dan gunung-ganang (Al-ahzab 72). Janganlah kita hanya mampu mengkritik, tetapi tidak mahu mempraktikkan apa yang dikritik.
 'Jika amanah diabaikan, maka tungulah datangnya kiamat' - Abu Hurairah

p/s : Pesanan buat diri sendiri dan sahabat yang telah diberi amanah.














Tuesday, 27 October 2015

Makanan

Ada orang makan bila betul-betul lapar. Ada orang makan bila mengidam. Ada orang makan hanya nak elak dari mati. 

Makanan. Semua memerlukannya. Tak kira apa jenis dan apa rasa selagi ia halal dan bersih. 
Kenapa tidak kita bermuhasabah diri dari makanan ? Ada yang cerca makanan yang dimakan hanya disebabkan rasanya yang tidak  memenuhi kehendak mereka. Ada yang merungut sambil menyumbat makanan ke mulut, hanya kerana mereka sudah muak dengan makanan yang sama. 

Belajarlah untuk mengenal erti syukur. Mungkin makanan yang kau buang sebab tawar amat diidamkan oleh si fakir yang kelaparan. Mungkin makanan yang kau cerca sebab muak menjadi kutipan buat si pengemis yang kebuluran. Aku tak nak membandingkan kita dengan  negara luar seperti di Afrika dan sebagainya, kerana aku percaya bahawa si angkuh dan sombong akan jawab bahawa ini Malaysia, perkara macam tu takkan berlaku. Sedarlah manusia. Tuhanmu boleh menarik setiap nikmat yang engkau ada sekelip mata. Benar harini kau bahagia dengan nikmat makan, tapi beringatlah bahawa ramai lagi yang memerlukan. Aku juga bukan manusia yang sempurna. Kerana apa ? Syukur perkara yang mudah untuk diperkatakan, tapi sukar untuk dijadikan ikutan.


Disaat kau suka akan pembaziran, ingatlah bahawa mereka lebih memerlukan.

Sunday, 25 October 2015

MADU

MADU ? Kenapa MADU ? Orang selalu tanya kenapa kitorang bagi nama MADU. Asalnya aku sendiri pun tak reti nak jawap apa walaupun nama tu aku yang bagi. Sehinggalah Helmi puas memikirkannya, MADU stand for Madly Unique. MADU ni sebenarnya kitorang punya nama brand baju yang berkonsepkan lokal atau lebih dikenali sebagai produk tempatan. Sasaran pelanggan kami pada asalnya hanyalah pelajar Kolej Matrikulasi Perlis. Tetapi, disebabkan terlajak laris, produk kami telah mendapat sambutan dari pelbagai Kolej Matrikulasi diseluruh Malaysia termasuklah Kolej Matrikulasi Labuan.

Di KMP, kami telah mengeluarkan 4 jenis design yang berbeza. Design pertama kami iaitu KMPIANS, telah terjual lebih 600 helai. Dari situ, kami dapat mengumpulkan modal untuk menyertai hari keusahawanan KMP selama 3 Hari 2 Malam. Pada hari keusahawanan tersebut, kami berjaya menjual baju yang diberi nama MATRIKULASI EMP4TR4T4 sebanyak 50 helai dan #KMPIANS sebanyak 100 helai. Pada masa yang sama, kami telah berkolaborasi dengan beberapa jenama tempatan yang lain seperti 27Legacy Tiedye, Smiley Crow, dan Pahlawan Apparel.
Bersama baju Legacy Tiedye di hadapan gerai kami.
 Anggaran untung yang kami perolehi pada waktu tersebut adalah sebanyak RM **** dirahsiakan haha. Alhamdulillah.
Silap pulak aku membelakangkan kamera waktu ni.
Sumber : Berita Harian, 8 Jan 2015
Tidak berhenti disitu, kami telah melebarkan perniagaan kami di seluruh Matrikulasi di Malaysia dengan design Raglan Matrikulasi.

Alhamdulillah, walaupun tak sedasyat sambutan di KMP, baju kami telah terjual lebih kurang sebanyak 300 helai di pelbagai Kolej Matrikulasi.

Projek terakhir kami adalah 'Finale Kmpians' dimana kami telah menggabungkan design #KMPIANS jawi dan KMPIANS. Tampil dengan 3 jenis baju, iaitu muslimah, lengan panjang, dan lengan pendek, Alhamdulillah baju tersebut telah berjaya dijual lebih kurang 450 helai. Disebabkan itu merupakan projek terakhir, kami telah memberi sticker percuma, dan button badge percuma kepada pelanggan kami. Kami juga telah memutuskan untuk memberikan sticker #kmpians kepada 1000 warga KMP secara percuma.
In syaa Allah, kami akan cuba untuk bertapak di UKM untuk mendapatkan lebih ramai MADU pelanggan.


Friday, 23 October 2015

Sesal


Biar kau tahu makna kata kehidupan. Biar kau tahu makna kata dugaan. Biar kau tahu erti kata penyesalan.

Biarlah. Biarkan, abaikan, dan lupakan memang dah sebati dengan kehidupan. Biarkan, abaikan, dan lupakan memang kau turuti kehendak hati. Biarkan, abaikan, dan lupakan takkan nak bawak sampai kau mati ?

Sampai kapan kau takkan berhenti menyesal jika tak pernah untuk berubah. Tak penat ke terlalu kerap menyesal disebabkan perangai yang tak tentu pasal.?


Tiada siapa yg mampu mengubah kalau kau sendiri tak nak berubah. Fikirkanlah agar sesalan tidak menjadi kebiasaan dalam kehidupan.
Renungkanlah betapa besar harapan yang kau bawak agar kelak tak melukai hati yang mengharap. Ku hanya ingin berpesan, jangan jadikan setiap keputusan membawa kepada penyesalan...

Saturday, 17 October 2015

Niskala

Terkadang kau datang tak diundang, tapi sering mendapat perhatian. Kadang juga kau datang berhamparkan permaidani merah, tapi langsung tak dipandang.

Jika engkau orang yang bijak, engkau tak mudah untuk dipijak. Jika kau tahu apa erti pergi, kau akan lari tak tinggal jejak.

Tak adil ? Itu perkara biasa, kerna manusia tak terlepas dari dosa.
Tak cukupkah masa yang kau beri supaya mereka datang mencari ? Berapa lama kau nak menanti hingga saat kau akan mati ?

Sedarlah. Mungkin mereka menganggap kau hanya badut dungu yang setia menunggu. Pergilah dari hidup mereka. Tinggalkan kebencian, dan tersenyumlah tanpa kedutan.

Mungkin mereka akan terkenang sekali sekala atau mungkin niskala buat selamanya.

Friday, 16 October 2015

Beban

Tidak pernah wujud manusia yang hidup tanpa beban. Tidak pernah ada manusia yang membesar tanpa sebarang dugaan dan cabaran. Tidak  ada manusia yang hidup tanpa terhimpit dan dihimpit.

Ya, beban. Setiap manusia pasti terbeban menghadapi beban. Setiap individu mahukan kebebasan daripada beban. Pastinya menjadi kesulitan dalam meniti arus kehidupan jika tidak dapat menangani beban.

Ingatlah, beban tidak boleh ditangani. Beban tidak mungkin diatasi dan dicantas. Tetapi beban perlu diuruskan dengan akal yang cerdas dan tindakan yang pantas.


Sebagai manusia biasa, kita tidak akan terlepas dengan beban. Meski tidak diundang, beban tetap akan datang. Sebab itu perlunya kebijaksanaan dalam menguruskan beban. Terpulang kepada individu bagaimana hendak menguruskan beban, agar kelak tidak tersembam mengharung cabaran. 

Saturday, 10 October 2015

10.10

Perfect 10. Sempurna. Aku akui terlalu ramai manusia mengejar kesempurnaan.
Aku tahu mereka ini tidak pernah mahukan kecacatan.

Terlalu ingin sempurna sampai diri merana. Tidak mahu kecacatan sampai diri kesempitan.
Pandang hina pada yang hodoh, sampai diri tak jumpa jodoh. Selalu rasa diri sempurna, sampai tak tahu diri tu bodoh.

Sayang sekali. Tidak ada manusia biasa yang sempurna melainkan pesuruhNya. Tidak wujud manusia yang sempurna tanpa sebarang cacat cela. Mana mungkin engkau cari yang sempurna sedang engkau manusia biasa. Aku musykil dengan manusia yang terus selesa merasakan diri sempurna.

Terkadang aku juga terikut sama.. Tapi sering kali ku ingatkan diri ini, 'aku manusia biasa, tidak pernah lekang dengan dosa'. Ingatkan aku kalau terlupa dan terleka.

azri ABU 10/10

Thursday, 8 October 2015

Sarcasticoustic


Minggu ni punya post, untuk kategori bebas aku malas nak berpuitis haha. Jadi minggu ni aku nak memperkenalkan Sarcasticoustic. Sarcasticoustic ni sebenarnya nama kumpulan busking kitorang masa dekat KMP dulu, dan semestinya lah kitorang menggunakan konsep akustik. Emcee tak pernah nak pronounce dengan betul Sarcasticoustic !!!!
                                                        (azri, nazmi, yunus, helmi, and anwar )
Tengok gambar atas tu macam kumpulan nasyid bukan busker pulak kan ? haha ni masa malam cinta Rasul. Nazmi dengan Helmi je terlibat sebab depa buat dikir zikir. Okay, kita mulakan dengan pertandingan Timeless independence merangkap Malam Ambang Merdeka.
Timeless Independence merupakan pertandingan antara blok kediaman. Blok aku dapat nombor 2. Okay la kan, ada 9 blok kot. 7 blok perempuan. Faruq pun join waktu ni, jadi pelakon haha.
Persembahan seterusnya adalah pada KMP Unplugged sempena hari keusahawanan kolej. Persembahan pembukaan. Esok tu, gambar kitorang masuk Berita Harian. Tapi tu nanti aku cerita lain la nohh.
Dan yang atas ni, persembahan pentas yang terakhir dekat KMP. Sedih enn hmm. hahaha. Tapi malam tu agak all out la. Penutupan karnival PRD. Sekali lagi diberi kepercayaan untuk buat persembahan pembukaan. sebab kitorang gempak kan hahaha. Paling best la aku rasa malam tu, walaupun ada jugak kekurangan, tapi alhamdulillah dapat dikaburi dengan keprofessionallan kitorang uhukss. Kitorang buat medley malam tu, selimut tetangga + mewangi + potret.

Yang terakhir di KMP, kitorang berbusking di depan dewan. Waktu tu tengah study week menjelang final exam. Masa tu jugak kitorang berkolaborasi dengan budak band. Kitorang ajak depa sama-sama turun menjayakan program cewahhh. Nah, biar gambar berbicara.





Tu jelah kot. Cuma nak bagitahu selain bermain cajon, nazmi sebenarnya budak nasyid KMP. Dia jugak pernah menyanyi dengan kumpulan UNIC. Lagi satu mungkin time persembahan korang takde nampak gambar Yunus. Tapi sebenarnya dia tulang belakang dalam setiap persembahan kitorang. Dia macam manager la haha. Sebab dia yang akan manage kitorang. Bagi melancarkan setiap persembahan, sound check, rehearsal semua dia settle kan. Dia jugak sebagai penasihat. Pernah aku di jemput untuk buat persembahan masa blok kediaman perempuan nak buat dinner, dia lah yang melarang haha. Lagi satu, kitorang berbayar tau hahahah. Eh ni serius tak tipu. Kitorang la paling cerewet bab lighting, bab audio. Bukan apa, sebab nak dapatkan kepuasan sendiri dan kepuasan orang lain. Tu je.Tapi busking depan dewan tak berbayar la.
Haa, lupa nak cakap. Kitorang sebenarnya satu bilik. Mungkin ditakdirkan kot kitorang sebilik. But sekarang terpisah. Dekat UKM ada aku dengan Helmi. Nazmi dapat jugak UKM, tapi dia pilih UM. Anwar dengan Yunus ada dekat UUM.
In syaa Allah kitorang akan berkumpul untuk berbusking semula nanti. Dan doakan aku dengan anwar dapat join K.R.U haha.

p/s : Dekat UKM aku tak menyanyi ye. Sebab susuk suara dah buang. Eh tak gurau je.

Tuesday, 29 September 2015

Mudah



Mudah untuk engkau berpaling tadah. Mudah buat engkau meninggalkan amanah. Juga mudah, untuk engkau berpaling terhadap apa yang susah. Pelik. Manusia memang pelik.

Kenapa kau taknak rasa susah ? Kenapa kau tak pernah cuba bersusah payah ?
Aku akui semua makhluk mengimpikan yang mudah. Aku setuju jika semua manusia mengelak untuk berpayah. Tapi, adakah ia digelar jalan mudah sampai engkau mengkhianati amanah ? Adakah ia dianggap penyelesaian yang mudah untuk engkau terus berpaling tadah ?

Usahlah berpaling. Janganlah kau mengelak untuk berpayah dengan mengambil jalan yang mudah. Hadapilah kesukaran itu. Rasailah kesusahan sendiri. Janganlah engkau mengambil jalan yang mudah jika engkau perlu bersusah.
Pesan aku. Semua perkara boleh jadi mudah. Tapi jangan engkau mempermudahkan apa yang mudah.

Monday, 28 September 2015

Mentor


Mentor… Pembantu atau penasihat dalam bahasa lainnya. Aku yakin dan pasti semua pernah memiliki mentor sendiri atau pernah menjadi mentor kepada orang lain.

Kebiasaannya mentor merupakan seorang yang lebih berpengalaman berbanding mentee. Kat sini aku nak tegaskan bahawa pengalaman dengan usia tidak boleh dikaitkan. Usia yang tua tidak menggambarkan pengalaman yang dimiliki.

Pernah aku menjadi mentor bagi Program Intergrasi Alumni di KMP baru-baru ini. Pernah juga aku menjadi guru ganti di sebuah sekolah menengah sebelum melanjutkan pengajian di UKM. Pendekatan yang aku gunakan kepada orang yang aku kendalikan adalah dengan menggunakan konsep mentor-mentee.

Konsep mentor-mentee bagi aku memerlukan mentor lebih erat dengan mentee nya. Aku tidak menetapkan kepada mereka untuk memanggilku ‘abang’. Tidak juga dengan panggilan ‘cikgu’. Sebaliknya, aku memberitahu kepada mereka terpulang untuk memanggil aku apa sekalipun selagi ia melambangkan kesopanan.

Aku rasa aku berjaya dalam menggunakan konsep tersebut. Kerana apa? Kerana mereka dan aku lebih selesa dalam menjalin perhubungan tersebut.


Maka dapat aku simpulkan dekat sini, mentor memerlukan perhubungan yang erat dengan mentee nya. Seiring dengan definisi sebagai pembantu dan penasihat. Walaupun guru dan kaunselor juga boleh menjadi pembantu dan penasihat, berbeza dengan mentor, mereka lebih erat dengan orang dibawahnya iaitu mentee.

Friday, 25 September 2015

Aku...

 Mungkin yang kau lihat bukan aku. Mungkin yang kau kenal cuma rupaku. Atau mungkin yang kau tahu hanya namaku.
Kau takkan kenal siapa aku. Kau hanya kawan bila aku tak anggap kau lawan. Kau hanya teman bila aku tiada kawan. Dan kau hanya rakan bila aku kehilangan teman. Mungkin kau rasa aku pentingkan diri. Mungkin kau nampak aku sombong. Atau mungkin kau lihat seperti perangaiku tidak sihat.
Aku nak nasihat, mata manusia penuh muslihat. Aku nak nasihat, semua manusia perlukan sahabat.
Maka dekati diriku, kenali aku sebelum engkau ku cintai dan aku mencintai.
Cintaku tak perlu ucapan ‘I love you’. Cintaku tidak perlu bersayang-sayangan. Bagi aku itu semua tak bawak mati. Kalau kau tak boleh layan, kau boleh pergi jalan.


Obses...


Sebab ia banyak mati. Sebab ia banyak tertindas. Sebab ia semua musnah, dan sebab ia segalanya punah. Ya, dalam menghadapi proses kehidupan ini, kita tidak boleh terlalu obses. Betapa ramainya manusia dimuka bumi ini yang obses terhadap cinta, harta, dunia, dan kuasa. Namun, tidakkah mereka sedar bahawa segala yang dimiliki didunia ini hanyalah sementara ? Tidakkah mereka tahu bahawa apa mereka ada pada hari ini, tidak akan kekal bersama mereka ?
Dunia akan berakhir, harta tak bawa mati, kuasa bawa binasa, dan cinta pasti terdusta. Bangkitlah dari mimpimu, apa yang engkau ada hanyalah sementara. Apa yang engkau ada, hanyalah pinjaman. Pemilik sebenar yang meminjamkan apa yang kau ada hari ini tidak akan terus membiarkan engkau berbangga dengan kehidupan kau. Sebab itu pesan aku, berpadalah sebelum obses.

#brocuba